Bismillahirrahmanirrahim..
Sudah lama tidak aku conteng ruangan ini, tetapi kali ini ingin sekali untuk menulis sesuatu bagi peringatan kepada diri sendiri pada masa hadapan InsyaAllah.
Bacalah (wahai Muhammad) dengan nama Tuhanmu yang menciptakan (sekalian makhluk), Ia menciptakan manusia dari sebuku darah beku; Bacalah, dan Tuhanmu Yang Maha Pemurah, Yang mengajar manusia melalui pena dan tulisan, Ia mengajarkan manusia apa yang tidak diketahuinya. (Surah Al'Alaq: 1-5)
Ayat yang jelas mengajar manusia kepentingan ilmu dalam kehidupan kita untuk meraih kejayaan sama ada di dunia mahupun di akhirat yang kekal sejati. Kita perlu sepakat bersama iaitu setiap ilmu dan kefahaman itu datangnya daripada Allah Azzawajalla dan mereka yang boleh dilihat secara zatnya hanyalah wasilah semata-mata.
Tambahan pula, disebutkan juga istilah pen ataupun tulisan yang sehingga sekarang pelbagai jenis ilmu pengetahuan telah dikembangkan. Hanya melalui penulisan, manusia mampu berubah daripada buta huruf kepada celik membaca, daripada jahil kepada alim dan daripada kekaburan kepada pencerahan.
Baru semalam (Hari Sabtu,23 Mac 2013) aku menghadiri satu program PERUBATAN yang bernama; Bengkel Penulisan dengan kerjasama syarikat mustread. Aku sangka ini hanyalah satu ruangan untuk aku mempelajari teknik-teknik untuk menulis dengan lebih baik, namun ianya melebihi jangkauan minda dan ilusi apabila pengisi-pengisinya terus meletakkan target bahawa setiap orang mampu menghasilkan sebuah buku dalam tempoh hanya 2 bulan! Sesuatu yang baru padaku, terkial-kial dan keliru dengan satu persoalan yang satu, "betulkah aku ni mampu?"
Pelbagai persoalan bermain di mata, fikiran dan hati tidak ketinggalan, aku masih belum pasti dan mengerti, boleh kah? Mampu kah? Ada orang nak bacakah? Memang stress kalau macam ni..Tetapi, apa salahnya kalau kita mencuba. Dan aku ingin bermula dengan menulis dahulu dalam blog, seperti tulisan ini.
Namun, bukan itu perkara yang aku hendak ketengahkan dalam coretan ini, malahan lebih kepada input-input yang aku perolehi daripada bengkel tersebut. Daripada nota tersebut terbiar dalam kertas bersaiz A4 yang aku pasti lama-kelamaan akan hilang luput di minda dan pandangan. Eloklah sekiranya aku mengadaptasikannya dalam blog ini untuk manfaat yang berpanjangan.
Mula-mula, akan aku sebutkan tentang beberapa aspek yang diperlukan perlu untuk menulis sebuah karya.Pertama sekali, kita memerlukan perancangan dalam menentukan kategori. Buku apa yang kita hendak tulis, tentang apa, kesannya dan lain-lain. Dalam konteks ini, tetapkan objektif yang paling rendah untuk permudahkan penulisan dan pengecilan skop seperti contoh, kategori kita adalah 'Keluarga', tetapkan objektif buku tersebut adalah untuk kegunaan bagi para ibu.
Yang kedua, membina rangka buku. Kami dinasihati supaya menggunakan teknik 'co-author' untuk menulis buku, khususnya buku pertama yang hendak ditulis. Jumlah co-author hendaklah tidak melebihi 3 hingga 4 orang di mana setiap orang ada tugas masing-masing untuk penulisan buku tersebut. Pembinaan rangka buku boleh kita ambil idea daripada sumber yang berdekatan, contohnya kita bertanya soalan di FB dan mendapat beberapa komen tentang isu yang diketengahkan, maka bolehlah kita mengumpul komen-komen tersebut membentuk kerangka penulisan.
Yang ketiga adalah kaedah adaptasi. Kaedah ini biasa digunakan seperti dalam penulisan blog di mana masing-masing mengolah dan menyusun kembali ayat-ayat (adaptasi) supaya membawa maksud yang sama tetapi tidak sama dengan penulisan yang sebenar. Antara ciri-ciri adaptasi adalah:
1. Susunan perkataan demi perkataan
2. Susunan ayat demi ayat
3. Susunan perenggan demi perenggan
4. Susunan bab demi bab
Jika ciri-ciri di atas ada yang sama dengan tulisan karya yang asal dari segi ayatnya, perkataannya, perenggannya mahupun babnya, maka ia telah menyalahi dan mencerobohi hak cipta penulisan yang asal.Namun, perlu diingati, proses tidak boleh diadaptasi kerana setiap proses ditentukan prioritinya, jadi tidak boleh sewenang-wenangnya kita mengubah struktur susunannya kerana ianya akan rosak dan mungkin sekali tidak akan difahami.
Sebenarnya, ketiga-tiga perkara di atas adalah sebahagian perkara yang diketengahkan dalam perbincangan kami untuk menunjukkan bahawa menulis sebuah buku itu tidak terlalu susah dan tidak juga terlalu senang sepertimana yang dikhabarkan oleh masyarakat. Kita akan merasa susah jika kita hendak menulis buku yang pertama, tetapi apabila kita sudah menyiapkan buku pertama, maka buku kedua sudah menjadi semakin senang dan begitulah seterusnya.
Apa yang ingin digariskan disini ialah kita sepatutnya bermula dari sekarang, bukan asyik memikirkan bila aku hendak menulis. Setiap perkara memerlukan satu titik permulaan. Setiap kejayaan dimulakan dengan satu langkah permulaan. Setiap titik dakwat akan menjadi huruf dan setiap huruf akan menjadi perkataan dan setiap perkataan akan menjadi ayat dan setiap ayat akan menjadi satu perenggan dan begitulah seterusnya.
Resolusi aku menerusi bengkel ini hanya satu, 'biar sedikit asal menjadi'. Tidak kira jika anda sibuk, tidak cukup masa, malas, tiada idea, sekarang ni orang tidak baca dah buku, orang baca melalui internet permintaan buku Melayu kurang dan lain-lain lagi tidak perlu diberi perhatian kerana setiap orang yang berilmu berhak untuk menulis. Cuma pastikan ilmu dan cara itu adalah betul dalam proses mendapatkannya dan tidak salah dari segi logik akal dan syariat yang ditetapkan. Dan sudah tentulah jangan ditulis ilmu sesat, nanti tersesat jalan kehidupan. Tips terakhir, tulislah sedikit demi sedikit, biarpun hanya nota ringkas, diari seharian, surat luahan perasaan. Yang penting, kita cuba untuk menulis dan menyampaikan kefahaman kita untuk manfaat orang lain.
No comments:
Post a Comment